Monday, August 18, 2014

Sebiji roti..

Pernah sekali, dalam satu hari. Aku memakan roti perisa jagung, dengan penuh sebak dan juraian air mata. Hari itu, aku hanya memakan sebiji roti. Belum pernah aku merasa begitu bersyukur, dengan nikmat yang telah Allah beri selama ni.

Dengan roti itu aku bersabung nyawa. Aku pecahkan duit tabung, "Alhamdulillah, cukup beli sebiji roti." lalu air mataku tumpah tanpa segan silu. Hanya itu yang ada.

Aku kunyah dengan perlahan. Dan dengan perlahan air mata tumpah lebih laju. Aku minta pada tuhan, tabahkanlah hati ini. Dan tangisanku mula menjadi. Seperti anak kecil meronta-ronta.

Rapuh. Badan ku semakin susut. Sujudku betul-betul tenggelam dalam larut dunia. Esakku menjadi. Aku pandang bilik, sepi. Lalu aku hamburkan segala.

Malam itu ditemani dengan unggas berterbangan di angkasa, ada seorang hamba yang kehilangan cahaya, merintih sayu. Suaranya berkeladak, tersekat dikerongkongan. Meminta simpati tuhan.

Dia memandang, pada plastik pembungkus roti. Lalu tangisnya kembali lagi. Dan dengan penuh tiada daya, dia tidur bagi menghilangkan rasa duka. Atau mungkin rasa hiba.

Sebungkus roti perisa jagung, itulah makanan yang paling enak yang pernah dia rasa.

Walaupun rasanya sama...