Friday, August 29, 2014

Sekejap sahaja..

Itulah ungkapan yang sering ku dengar.

Bila aku meluahkan letihnya belajar. Mahu berhenti belajar. Lama lagikah ? “Sekejap sahaja.” Diulang-ulang sehingga aku merasa bosan. Bagaimana harus melaluinya ?

Masa begitu perlahan berlalu, apabila aku sering menghitung saat. Dari saat jatuh ke minit. Dan seterusnya jatuh ke jam, ke saban hari dan minggu. Sehingga berlangsungnya hari yang aku tunggu.

Bila saat sukar berlalu dalam hidup. Itulah detik yang aku pinta pada Tuhan. Berlepas daripada ujian yang sukar. Kesabaran terlalu menggugat keimanan, yang pada akhirnya akan disinari dengan kebahagiaan.

Sabar.

Inilah ayat klise yang selalu diutarakan oleh mereka. Setutur lidah meluncur perkataan ‘sabar’. Atau ingin aku penuhkan bicara mereka seperti ini, “Sabar, sekejap sahaja… ” .

 

Ujian ini terlalu menghambatku.

Aku yakin, aku benar-benar telah kehilangan cahaya. Terperosok ke dalam. Timbul tenggelam. Tiada daya melawan gelora. Hanya terngiang ditelingaku adalah ‘sabar’. Namun, berapa lama lagikah ?

 

“Sekejap sahaja…”

 

Aku meyakininya. Mungkin pada suatu hari nanti, saat yang dilalui ini, hanyalah sekejap sahaja. Ketenangan yang aku cari selama ini. Perjalananku semakin hampir ke muara akhirat.

 

Wahai, indahnya.

Jika aku dapat merasai kesabaran itu semula, yang sering kalian utarakan. Kerna ianya semakin haus di gesel bersama ujian. :)

 

‘Sabar, dimanakah kau sekarang ?’

 

 

No comments:

Post a Comment