Wednesday, January 12, 2011

Jalan ke Syurga Masih Luas

Syurga adalah destinasi positif terakhir kepada golongan yang beriman, bertakwa kepada Allah SWT, iaitu golongan yang disebut oleh Allah SWT dengan istilah ‘Ashabul Jannah’, al-Muttaqun, al-Abrar, al-Muflihun, as-Siddiqun, as-Syuhada’, as-Solihin, as-Syakirun, as-Sobirun dan banyak lagi. Mereka adalah golongan yang dijanjikan oleh Allah untuk memasuki syurgaNya.

Bagaimana pula dengan kedudukan diri kita nanti di akhirat? Adakah kita termasuk himpunan manusia yang  setaraf dengan golongan yang disebut di atas?

Apa yang penting kita terus melakukan sesuatu yang terbaik bagi diri kita bagi mencetuskan kesedaran dengan mengemukakan beberapa soalan pada diri.

1. Benarkah amalan kita menepati apa yang dilakukan oleh baginda SAW?

2. Apakah kita berjaya mendapatkan syafaat Rasulullah SAW untuk masuk syurga tanpa dihisab?

3. Apakah sumbangan yang telah kita berikan untuk perkembangan Islam sehingga dikategorikan golongan al-Abrar?

4. Benarkah kita semua mahu syurga, sedangkan akidah, pegangan, kepercayaan tidak selari dengan ajaran Rasulullah SAW?

Kalau baginda SAW ada menyebut bahawa: “Iman bukanlah satu perkara (yang boleh diangan-angankan oleh seseorang Muslim), akan tetapi iman itu apa yang tertanam dalam hati/jiwa sabubari manusia dan dibuktikan dengan amalan.”

Begitulah juga dengan persoalan syurga, ia tidak hanya diangan-angankan oleh seseorang individu, akan tetapi cara hidup, cara berfikir, berpakaian, penampilan hendaklah secocok dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Kita hidup pada zaman fitnah.

Memang tak dapat dinafikan bahawa kita hidup dalam pelbagai bentuk fitnah terhadap Islam, pancaroba, dan keruntuhan nilai akidah, iman, dan tauhid kepada Allah SWT.

Namun masih ada cahaya.

Katakan kepada mereka yang mungkin sudah tergelincir bahawa masa depan dengan Islam masih terbuka buat mereka, katakan kepada mereka bahawa Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat hamba-hambaNya.

Amalan yang boleh membawa seseorang itu ke syurga, InsyaAllah:

1. Lakukan 12 rakaat solat sunat sebelum atau sesudah solat fardhu iaitu 2 sebelum Subuh, 4 sebelum Zuhur dan 2 selepasnya, 2 lepas Maghrib dan 2 selepas Isyak. Faedahnya: Allah SWT akan membina baginya mahligai dalam syurga. Ia berdasarkan hadis baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang dapat melakukan 12 rakaat solat sunat secara sukarela, maka dibina baginya mahligai dalam syurga” (Hadis riwayat Imam Muslim)

2. Dua rakaat pada waktu malam. Faedahnya: Doanya terkabul, dosanya diampunkan Allah, hajatnya diperkenankan. Dalilnya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia setiap malam (lebih-lebih lagi sepertiga malam) hingga Dia berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu pasti Aku perkenankan, sesiapa yang meminta kepadaKu pasti Aku berikan kepadanya dean sesiapa yang memohon ampun kepadaKu pasti Aku ampunkan dosanya.”” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

3. Lakukan 2, 4, atau 8 rakaat solat dhuha. Faedahnya: seolah-olah seseorang itu bersedekah setiap urat-urat jari-jemarinya. Dalilnya seperti yang disabdakan Nabi SAW: “Berpagi-pagi seseorang daripada kamu setiap tulang empat keratnya adalah sedekah, setiap puji-pujiannya adalah sedekah, setiap ucapan Lailaha ilallah adalah sedekah, setiap takbirnya adalah sedekah, Amar makruf yang dilakukan adalah sedekah, Nahi mungkarnya adalah sedekah, dia akan diganjari pahala dengan hal yang demikian, termasuklah dua rakaat dilakukan pada waktu dhuha.” (Riwayat Imam Bukhari)

4. Membaca surah al-Mulk. Faedahnya: Dapat selamatkan pembacanya daripada azab kubur. Dalilnya baginda SAW bersabda: "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam al-Quran yang mengandungi 30 ayat, ia mampu memberi syafaat kepada pembacanya dan akan diampunkan dosanya, iaitu surah Tabarakkallazi Biyadihil Mulk." (Riwayat hadis Imam Ahmad dan at-Tirmizi dengan derajat hadis Hasan)

5. Memperbanyakkan ucapan La Ilaha Illallah Wahdah, La Syarikalah, Lahul Mulku walahul Hamd, Wahuwa 'Ala Kulli Syaiin Qadir pada setiap hari 100 kali, maka baginya pembebasan 10 orang hamba, mendapat 100 pahala, dihapuskan 100 dosa dan menjadi bentengan daripada kejahatan syaitan dari pagi sampai petang." (Hadis riwayat Imam Muslim )

6. Berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW Faedahnya: Terlepas daripada menjadi golongan bakhil/ kedekut. Dalilnya seperti yang disabdakan baginda SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya sesiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat." (Hadis riwayat Imam Muslim). Sabdanya lagi: "Orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ke atasku ketika disebut namaku." (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dengan kedudukan hadis Hasan Gharib Sohih)

7. Mengucapkan Tasbih: "Subhanallahi Wa Bihamdihi, Subhanallahil 'Azim 100 kali. Faedahnya: Ditanamkan baginya sebuah pohon kurma dalam syurga. Dalilnya, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berkata Subhanallahi Wa Bihamdihi, Subahanallhil 'Azim 100 kali, akan ditanamkan baginya sebuah pohon kurma dalam syurga." ( Hadith riwayat Imam at-Tirmizi dan beliau berkata: Hadis ini Hasan Gharib )

8. Dengan banyak beristighfar iaitu mengucap "Astaghfirullah' 100 kali. Faedahnya Allah akan menghilangkan segala kesulitannya serta melapangkan rezekinya. Dalilnya, seperti yang disabdakan baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang membiasakan dirinya dengan Istighfar/Astaghfirullah ( 100 kali ), maka Allah akan jadikan baginya jalan keluar daripada segenap kesempitan (hidup), kesusahannya akan dipermudahkan Allah serta rezekinya akan diperolehi daripada bahan yang tidak disangka-sangka." (Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dengan kedudukan Hadis yang Sohih)

InsyaAllah, semoga perkongsian ilmu diatas dapat kita amalkan dengan penuh istiqamah. Salam ukhuwah fillah.

link

2 comments: