Pada suatu hari terjadi percakapan di antara Nabi Muhammad SAW dengan Abu Bakar As-Siddiq. Sahabat-sahabat yang lain pun ada mendengarnya...
"Wahai Abu Bakar, begitu rinduku hendak bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwan)", kata Nabi Muhammad SAW.
"Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?" jawab Abu Bakar...
"Bukan! Kamu ini adalah sahabat-sahabat ku," jawab Nabi SAW.
Keterangan Nabi itu sungguh menghairankan Abu Bakar, juga sahabat-sahabat lain yang hadir. Apakah bezanya antara sahabat dan ikhwan, siapakah yang dimaksudkan Nabi Muhammad SAW itu dengan penuh kerinduan? Demikian persoalan bermain dalam fikiran mereka dan suasana percakapan menjadi lebih serius kerana masing-masing ingin tahu mengenainya....
Nabi segera memahami suasana yang ada bila keterangan baginda mengejutkan Abu Bakar dan sekalian sahabat yang ada di majlis itu. Maka segeralah baginda menghuraikan..
"Ikhwan (saudara-saudara) ku." "Mereka belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku. Aku dicintai melebihi dari anak dan orang-orang tua mereka."
"Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan engkau?'' bertanya sahabat baginda...
"Kamu semua adalah sahabat-sahabat aku," jelas Nabi.
“Wahai Abu Bakar, adakah engkau tidak akan merindui kepada ikhwanku itu kerana mereka juga mencintai engkau kerana engkau sahabatku?"demikian Nabi menjelaskan perkara itu…
Begitulah Nabi Muhammad SAW menerangkan bahawa mereka itu umat sesudah wafatnya baginda. Mereka itu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan baginda. Mereka membaca Quran dan Hadis dan kerana itu mencintai Nabinya sebagai Rasul Allah yang penghabisan. Mereka juga mencintai Abu Bakar Sidiq dan sahabat-sahabat Nabi yang berjuang pada menegakkan Islam.
Dalam suatu waktu yang lain, baginda membicarakan kepada sahabat-sahabat tentang kurniaan iman ikhwan dan sekali lagi mereka menjadi kehairanan..
"Siapakah makhluk Allah yang paling ajaib imannya," (man a'jabul khalqi imanan?) Demikian Nabi bertanya kepada sahabat.
"Malaikat" jawab mereka.
"Bagaimana malaikat tidak beriman dengan Allah sedangkan mereka sentiasa taat dengan Allah.. " jawab baginda.
"Para Nabi," jawab mereka lagi.
"Bagaimana para Nabi tidak beriman sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?" Nabi s.a.w. membantah jawapan mereka.
"Kami" jawab sahabat lagi.
"Bagaimana kamu tidak akan beriman sedangkan aku berada di tengah-tengah kamu?" jawab Nabi.
Betapa hairannya para sahabat mendengar jawapan -jawapan Nabi s.a.w. itu dan mereka sudah cukup dapat memahaminya. Manakala Nabi sedia maklum betapa mereka amat ingin mengetahui siapakah makhluk ini, yang paling ajaib imannya.
"Makhluk yang paling ajaib imannya ialah mereka yang hidup sesudah aku. Mereka membaca Qur'an dan beriman dengan semua isinya." Nabi Muhammad SAW pernah menegaskan lagi tentang kemurnian iman ikhwan ini dalam sabdanya: "Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku. Dan berbahagialah tujuh kali orang-orang yang beriman dengan aku, tetapi tidak pernah berjumpa dengan aku."
Demikian lah Nabi s.a.w. mencintai ikhwannya, umat sesudah Rasulullah wafat. Semoga kita dapat terus mencintainya Rasulullah lebih dari kecintaan kita pada dunia.
No comments:
Post a Comment